Wednesday, 11 April 2012

KURIKULUM DAN KOKURIKULUM - SEIMBANGKAH?

oleh Azman Adnan@azman2020.blogspot.com

Ramai di kalangan kita bersetuju bahawa Intelligence Quotient (IQ) adalah tersangat penting dalam menentukan kejayaan seseorang dalam mengharungi alam persekolahan. Kita selalu lupa tentang kepentingan satu lagi faktor iaitu Emotional Quotient (EQ) yang diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1990. Dipercayai ia merupakan satu faktor yang sangat penting dalam menentukan kejayaan seseorang dalam alam kehidupan sebenar. Untuk memperolehi pekerjaan memerlukan kelayakan dalam akademik tetapi untuk terus maju dalam kerjaya harus cekap bermain dengan perasaan.




Ramai juga bersetuju bahawa IQ seseorang pelajar boleh dikembangkan melalui kegiatan kokurikulum. Ini kerana kegiatan tambahan kurikulum mencakupi bidang-bidag pengalaman yang tidak dibatasi oleh kegiatan kurikulum. Kegiatan kokurikulum merupakan pelengkap kepada kurikulum. Secara langsung atau tidak langsung kegiatan kokurikulum menjadikan seseorang pelajar mempunyai sahsiah yang bukan sahaja sangup menempuh cabaran-cabaran alam persekolahan tetapi lebih bersedia mengharungi liku-liku dalam alam kehidupan.

Isunya sekarang, kejayaan yang manakah harus diutamakan oleh pelajar-pelajar? Berjaya dalam alam persekolahankah atau berjaya dalam kehidupan? Yang unggul, tentulah dalam kedua-dua alam (persekolahan dan kehidupan). Kalau begitu adakah kita telah benar-benar memberi keutamaan sama rata dalam kurikulum dan kokurikulum kepada anak-anak kita ini?

Di sekolah, lantaran kita mempunyai dasar yang jelas berkaitan pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum seperti termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 dan surat-surat pekeliling berkaitan dengannya, pastinya tidak menjadi apa-apa halangan untuk melaksanakannya. Walau bagaimanapun sejauhmanakah pelajar memberi keutamaan yang sama untuk mengikuti semua aktiviti kokurkulum ini seperti mereka menghadiri kegiatan kurikulum termasuk kelas tambahan/tuisyen dan sebagainya? Sejauhmanakah kehadiran pelajar ke sekolah untuk aktiviti kokurikulum ini pada hari sabtu atau hari-hari yang ditetapkan 100% seperti mereka hadir untuk sesi pembelajaran? Malah kedengaran ada pelajar yang tidak dapat menghadiri aktiviti kokurikulum (unit uniform, sukan permainan dan persatuan kelab) kerana tiada sokongan kuat daripada ibu bapa/penjaga sendiri - ibu bapa lebih suka anak menghadiri kelas tuisyen atau tidak menyediakan kemudahan pengangkutan untuk anak ke sekolah menghadiri aktiviti kokurikulum - itu yang sering dijawab oleh anak-anak apabila ditanya kegagalan hadir aktiviti kokurikulum.

Hal ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk golongan pendidik, pelajar dan ibu bapa/penjaga. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaa telah jelas disebut bahawa matlamat pendidikan negara secara ringkas adalah untuk melahirkan individu yang sahsiahnya seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani yang sudah pasti perlu diperkembangkan sama rata. Justeru, bidang kokurikulum juga perlu diberi perhatian yang sama rata jika kita inginkan anak-anak kita memiliki ketrampilan yang pelbagai. Cabaran kerjaya dan kehidupan pada masa depan bukan bergantung sepenuhnya kepada kecerdasan dan pencapaian akademik sahaja tetapi lebih memerlukan gandingan ketrampilan komunikasi, kebolehan/keupayaan bekerja, keupayaan merancang dan berfikir jauh ke depan, tahan menempuh cabaran, membuat keputusan yang singkat dan tepat dan serba boleh. Sebab itulah ada graduan yang baik pencapaiannya dalam akademik tetapi masih tidak mempunyai pekerjaan kerana tidak memiliki ketrampilan lain yang diinginkan oleh pasaran kerja sekarang.

Saya pernah berjumpa dengan seorang bekas pelajar saya yang cukup aktif semasa di sekolah. Beliau bukan sahaja berketrampilan sebagai Pengawas tetapi aktif dalam unit beruniform, menjadi wartawan sekolah dan sentiasa bersedia membantu dalam apa juga aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah. Menurutnya apabila beliau menamatkan pengajian di universiti dan masuk ke pasaran kerja, elemen yang paling banyak membantu beliau mendapat pekerjaan ialah sijil-sijil dan pengalaman serta ketrampilan yang diperoleh dalam pelbagai aktiviti kokurikulum semasa di sekolah dan universiti. Bakat beliau banyak diasah dan dikembangkan melalui pengalaman langsung terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum yang menjadikannya tahan lasak dan kompetetif dengan keperluan semasa. Kelayakan akademik bagi beliau hanyalah satu tiket untuk melayakkan seseorang masuk ke pasaran kerja. Apatah lagi kini banyak kerjaya yang merentas kurikulum. Graduan bidang kesusasteraan tidak semestinya menjadi guru atau penulis tetapi berupaya menjadi pengurus, eksekutif, pegawai perhubungan awam, CEO dan sebagainya.

Guru di sekolah telah menjalankan tugas profesionalnya selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pelajar sudah sewajarnya memberikan komitmen yang seimbang dalam menunaikan taggungjawab mereka sebagai pelajar dan ibu bapa/penjaga pula seharusnya melihat mereka sebagai penyokong dan pendokong kepada anak-anak untuk mengikuti semua aktiviti kurikulum dan kokurikulum secara seimbang din sekolah dan di luar sekolah. Bantulah anak-anak untuk mencapai kecemerlangan diri dan bukan sekadar cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM dan STPM sahaja.

Kita perlu melihat impak pendidikan akan diperoleh sama ada secara langsung atau tidak langsung. Melalui pembelajaran dalam bilik darjah anak-anak akan akan memperoleh input intelektuan manakala melalui aktiviti kokurikulum anak-anak memperoleh ilmu untuk 'survival' diri, emosi dan kehidupan. Saya teringat apabila anak saya balik dari sekolah dengan penuh kegembiraan membawa surat dari sekolah kerana berpeluang mengikuti perkhemahan di sekolahnya. Dua hari sebelum berkhemah semua persediaan untuk berkhemah telah disediakan sendiri - khemah, alatan memasak, lampu picit, baju hujan dan sebagainya. Di sekolah anak-anak ini diajar survival hidup - memasang khemah, memasak, kerja berkumpulan, solat berjemaah dan sebagainya yang semuanya adalah untuk memenuhi ketrampilan diri insan. Ini semua sebenarnya tidak mampu kita sediakan di rumah sebaliknya boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah. Oleh itu kita hendaklah memberikan sokongan yang sepenuhnya agar anak-anak kita terlibat dengan pelbagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Malah langkah Kementerian Pelajaran mengalakkan murid sekolah memakai pakaian seragam pada setiap hari rabu mempunyai impak tersembunyi menjadikan pelajar kita lebih berkeyakinan, kemas dan berwibawa. Elemen ini tidak akan dapat menampakkan kesan dalam masa singkat tetapi apabila ianya telah terbudaya dan menjadi amalan maka komitmen dan daya tahan anak-anak akan semakin berterusan. Inilah yang dinamakan pendidikan. Kita perlu memberi peluang kepada anak-anak kita untuk menikmati alam persekolahan dengan mengasah mengasuh bakat dan ketrampilan diri untuk masa depan mereka. Kita tidak perlu terlalu konsevatif dengan pengalaman yang pernah kita lalui dahulu.

Secara sedar atau tidak dahulu semasa kita hidup di kampung ibu bapa kita tidak pernah melarang untuk kita terlibat dengan aktiviti melastik burung, bermain tutup mata, galah panjang, bermain pondok-pondok, mandi di sungai dan sebagainya. Mereka memberi kebenaran asalkan kita tahu mengurus masa dengan betul - perlu pergi sekolah, tidak abaikan solat, tidak ponteng mengaji dan tidak membahayakan keselamatan. Itu semua adalah realiti kepada aktiviti kokurikulum yang yang dilaksanakan oleh sekolah pada masa kini. Aktiviti perkhemahan contohnya adalah manifesstasi kepada aktiviti-aktiviti kita semasa di kampung satu ketika dulu. Mahukah kita lihat anak kita yang membesar dengan lingkungan permainan dalam rumah (playstation, internet dan lain-lain) sahaja tetapi tidak berupaya menempuh cabaran hidup yang semakin hebat di luar sana satu ketika nanti?