Friday 2 March 2012

Pemuda Ketika Ini...

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
Generasi muda tonggak masa depan bantu pertahan kesucian, kedaulatan agama, bangsa dan negara.
BELIA adalah kumpulan yang menjadi tenaga utama dalam sesebuah negara. Malah jika ditelusuri sejarah syiar Islam sejak era Rasulullah lagi, golongan pemuda atau belia adalah tonggak dalam membantu perjuangan menegakkan agama Islam. Di samping itu, al-Quran banyak menceritakan perjuangan Nabi dan Rasul yang semua daripada kalangan pemuda. Kata Ibnu Abbas: Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan Allah, melainkan ia dipilih dalam kalangan pemuda (belia) iaitu yang berumur antara 30-40 tahun. Begitu jugalah tidak seorang alim yang diberikan ilmu, melainkan ia dari kalangan pemuda. Kita selalu membaca kisah golongan belia yang dipaparkan al-Quran seperti Ashabul Kahfi dan Ashabul Ukhdud. Misalnya Ashabul Kahfi, al-Quran menceritakan nilai iman dan ketakwaan golongan belia yang melarikan diri daripada pemimpin Mustakbirin yang hanya mementingkan aspek material dan keduniaan semata-mata. 
Mereka berbuat demikian bukan kerana takut sebaliknya kerana ingin memelihara dan menjaga iman dan takwa kepada Allah. Dalam sejarah Rasulullah, sahabat Baginda yang sentiasa membantu dan berada di barisan hadapan mempertahankan Islam adalah belia. Walaupun ada kalangan mereka itu masih muda dan remaja, namun kecintaan mereka terhadap Nabi begitu tebal. Tiada masa dibuang percuma, melainkan dipenuhi dengan amalan yang bermanfaat. Pada zaman Nabi, tidak pernah terdengar atau terbaca catatan menggambarkan golongan muda yang suka melepak dan membuang masa dengan hal yang menyusahkan orang lain. Jauh sekali mereka melakukan sesuatu perbuatan terlarang. Inilah zaman terbinanya generasi belia yang berkualiti tinggi lengkap dengan pakej iman dan takwa yang padu. 


Gambaran ashabul kahfi oleh penganut kristian

Menurut asy-Syeikh Fathi Yakan, usia muda generasi belia adalah usia yang penuh dengan cita-cita unggul yang mengalir darah yang gemuruh serta memiliki idealisme yang luas. Selain itu, mereka berupaya tinggi menabur jasa malah bersikap berani serta cepat mengambil peluang. Jika dilihat pada pendapat Syeikh Fathi, belia adalah aset berharga kepada agama, bangsa dan negara. 
Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata, tanda pemuda-pemudi Islam yang berhemah tinggi adalah suatu generasi yang mempunyai sifat yang dinyatakan dengan jelas bagi sesiapa yang membaca al-Quran atau mempelajari sunnah Nabawiyyah.
Katanya, antara sifat itu ialah percaya kepada realiti dan mementingkan ilmu pengetahuan, suka beramal dan hidup berjemaah yang kukuh. Selain itu, mereka ikhlas melaksanakan sesuatu amal kebajikan, saling berinteraksi dengan komuniti serta hidup dalam keseimbangan dunia akhirat yang sejati. Mereka mengamalkan hidup bersederhana dan qanaah dengan apa yang dikurniakan Allah.
Namun kini, arus pemodenan dan globalisasi semakin mencengkam jiwa golongan belia, kekukuhan rohaniah dan sahsiah mereka terhakis sedikit demi sedikit sehingga berlaku pelbagai gejala negatif. Banyak sebab terjadi fenomena sedemikian. Antaranya kerana pengaruh rakan sebaya. Mereka gagal memilih rakan yang baik dan beragama sempurna. Kebanyakan gejala negatif seperti melepak dan merempit malah penyalahgunaan dadah kebanyakannya berpunca daripada pengaruh rakan. 

Ingatlah pesanan Nabi Muhamad yang bermaksud:
Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang jahat ialah laksana pembawa wangi-wangian dan tukang besi. Adapun pembawa wangi-wangian, sama ada dia memberimu sedikit ataupun kamu membeli daripadanya sedikit, ataupun kamu dapat mencium daripadanya bau-bauan yang wangi. Adapun tukang besi sama ada dia membakar bajumu, ataupun kamu mencium daripadanya bau-bauan yang busuk. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Inilah pesanan Nabi kepada kita semua supaya bijak memilih rakan kerana kesannya sangat buruk terhadap masa depan dan pembentukan sahsiah.
Daripada pengaruh rakan juga maka merebak nilai negatif seperti pergaulan bebas yang berakhir dengan perlakuan zina. Rakan yang buruk akhlak akan menjebak seseorang memiliki jiwa tidak takut Allah dan tidak ingat kepada kematian.

Sebaliknya jika seseorang itu memiliki rakan yang soleh, sudah pasti akan membawa kepada pembinaan iman dan pemantapan takwa yang utuh sekali gus memperkasakan jati diri sebagai seorang mukmin yang unggul. Jadi, kepada golongan muda belia Islam, diharap bijak memilih rakan supaya diri tidak terjerumus ke lembah yang bertentangan agama.

Belia seharusnya segera bangkit membina sahsiah diri terpuji. Jadilah generasi yang mampu mendokong tamadun ummah dan negara. Bangkit menjadi golongan yang bermanfaat kepada orang lain dan memberikan pengaruh baik dalam lingkungan sekitarnya dan sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Contohilah peribadi Hassan al-Bana, yang memimpin gerakan Ikhwanul Muslim ketika baru berusia 23 tahun.

Teladani jati diri Usamah bin Zaid yang pada usia baru mencecah 18 tahun sudah dipilih memimpin barisan perang. Ikutilah jejak mulia Saidina Ali bin Abi Talib serta Zubair bin Awwam yang ketika berusia 8 tahun pintar, cerdas akal fikiran malah berani di medan perang. Inilah beberapa contoh generasi muda yang hebat. Bagaimana dengan anak muda belia kita sekarang?
Terima kasih  kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 1910 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya.